SEJARAH SEKOLAH


SM Alor Biak ditubuhkan pada Januari 1985. Bermula dengan 7 orang guru dan pelajar seramai 92 orang mereka ditempatkan di 3 buah kelas    dengan menumpang sementara di SK Teluk Malek.  Pada tahun 1987, sebuah bangunan sementara telah dibina di SK Seri Muda bagi menampung  pertambahan  bilangan pelajar.  Pejabat pentadbiran sekolah juga turut dipindahkan dari SK Teluk Malek ke sini manakala kelas di SK Teluk Malek dijadikan cawangan SM Alor Biak.  Dua kelas  lagi dibuka pada tahun 1989 dan mereka ditempatkan  Dewan Orang Ramai Telaga Tongka.

 SM Alor Biak mula  beroperasi di bangunan sendiri yang telah siap dibina di Kampung Telaga Batu pada Disember 1989.  Seramai  300 orang pelajar mula bersekolah di bangunan baru ini.  Jumlah guru juga telah bertambah kepada 24 orang beserta  4 kakitangan sekolah.  Kerja-kerja membina surau  sekolah dan Balai Ibnu Sina pula dimulakan  sekitar tahun 1994 dengan menggunakan kayu hasil    sumbangan TNB.Detik bersejarah  telah merakamkan perasmian SMK Alor Biak  oleh Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak, Menteri Pendidikan Malaysia semasa     perhimpunan PIBG  tahun 1998.

Pembangunan prasarana sekolah kian pesat apabila dua buah kolam ikan dan sebuah balai rehat telah dibina di sekolah ini hasil sumbangan pihak JPS Kubang Pasu / Padang Terap .Bahkan  pembangunan diteruskan  lagi  dengan  pembinaan sebuah makmal komputer pada tahun 2000 dan mula digunakan sepenuhnya  tahun 2002 serentak dengan kerja-kerja pembinaan Dewan Terbuka dan Bilik VIP yang terletak bersebelahan dengan kantin sekolah.

Ketika isu air daun biak ( ketum)  hangat diperkatakan, pihak sekolah telah menggunakan kesempatan ini dengan sebaik-baiknya  untuk menukarkan nama SMK Alor Biak kepada nama baru yang mampu memberi konotasi  lebih baik kepada guru dan pelajar-pelajarnya.  Nama baru ini telah mendapat perkenan Kebawah DYMM Sultan Kedah pada 21 Disember 2003. Ironinya, detik bersejarah kembali berulang apabila permohonan pertukaran nama sekolah yang baru telah diluluskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada 21 Jun 2004.  Nama baru yang diluluskan ialah SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TUNKU SERI INDERA PUTERA.

Kemajuan prasarana terus dipacu menerusi  kerja-kerja menaik taraf Surau An-Nur   pada tahun 2007 iaitu serentak dengan pembinaan bangunan MPV yang mengandungi  2 bilik.  Bilik-bilik ini  juga  turut dilengkapi dengan peralatan jahitan.  Bangunan MPV ini mula  digunakan sepenuhnya untuk proses pengajaran dan pembelajaran pada tahun 2010 .  Manakala Surau An-Nur telah dirasmikan oleh  Encik Roslee Bin Ismail BCK, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, JPN Kedah pada tahun yang sama.


No comments:

Post a Comment